Wednesday 14 August 2013

Cerpen Cahaya Aidilfitri

Hadif masih lagi setia di dalam biliknya walaupun jam di dalam biliknya sudah menunjukkan ke angka 930 malam. Di luar biliknya sudah pun gelap semenjak jam 530 petang setelah semua staffnya sudah pun pulang ke rumah. Mahu pulang ke rumah? Dia sebenarnya bosan untuk balik ke rumah. Ingin keluar lepak bersama rakan? Dia tiada mood untuk semua itu. Dia masih lagi menyelesaikan kerja yang masih lagi berbaki. Selepas dia berbuka hanya dengan air kosong dan roti dia meneruskan kerja setelah dia menunaikan sembahyang mahgrib. Namun tidak lama kemudian entah mengapa tiba-tiba dia merasa seram. Meremang bulu tengkuknya. Air liur entah mengapa tersekat di anak tekaknya. Dia yakin dia kini keseorangan.

Hadif tidak menunggu lama. Dia mengemas fail dan kertas kerja yang berselerak di atas meja. Beg sandang di capai. Komputer di hadapannya ditutup. Walau pun rasa getarnya kian kencang. Entah mengapa dia merasakan pintu biliknya dipulas. Hadif melangkah ke belakang. Cuba mencari seandainya ada kayu atau pun benda keras untuk dia bersedia. Dia bukan takut dengan hantu atau jembalang. Yang dia takut adalah manusia yang bertopengkan hantu. Perompak ada di mana-mana. Kalau setakat wang yang melayang tak mengapa juga. Buatnya nyawa yang melayang? Selisih! Kahwin pun belum lagi.

“Assalamualaikum!” Bagai luruh jantung Hadif dengan salam yang tiba-tiba memecah keheningan malam itu.

“Zafri!” jerit Hadif. Nasib baik dia tidak membaling tong sampah ke arah Zafri. Kalau tidak sudah tentu rakannya itu dimandikan dengan kertas.

“Kau tak balik lagi ke?” Tegur Zafri di muka pintu biliknya. Terhenyak Hadif dengan perilaku Zafri tadi.

“Engkau kalau tak buat aku sakit jantung tak boleh ke? Selalu sangat nak terjah orang.” Keras sahaja kata-kata yang dilontarkan oleh Hadif itu.

“Tidaklah. Aku tengok bilik kau terpasang lampu. Aku ingat kau lupa nak tutup lampu. Sebab itu aku singgah. Tak sangka pulak kau tak balik lagi. Banyak lagi ke kerja yang tak siap?” Zafri melangkah masuk ke dalam bilik Hadif.

Pertanyaan dari Zafri itu disambut dengan keluhan yang berat. Dia memandang ke arah Zafri seolah meminta pertolongan. Zafri menarik kerusi dan melabuhkan punggung di hadapan Hadif. Dia menantikan seandainya Hadif mahu bercerita.

“Kau kenapa, Hadif? Macam besar sangat masalah kau ni.” Zafri masih lagi menanti.

“Entahlah Zafri. Aku nak bercerita pun aku tak tahu macam mana.”

“Baik kau ceritakan. Mana tahu kalau aku boleh tolong kau.” Hadif masih lagi membatu. Cuba menyusun dan membuat karangan untuk dia bercerita dengan Zafri. Permintaan dari arwah ayahnya masih belum tertunai. Entah bila dia tidak pasti. Namun selagi dia menangguh, hatinya masih lagi tidak keruan.

“Apa lagi yang kau nak, Hadif. Kau sudah punyai segalanya. Takkan itu pun tak cukup lagi. CEO, harta, semuanya milik kau.” Memang benar dengan kenyataan dari Zafri itu. Namun itu cuma zahirnya. Di dalam hati? Hanya dia yang tahu. Hatinya masih lagi dilingkar rasa bersalah dengan permintaan arwah ayahnya.

“Masih ada yang belum cukup lagi, Zafri.”

“Ha…. Aku tahu. Kau tentu sunyi, kan. Kau tengah cari calon isteri. Ya! Calon isteri! Yang lepas tu janganlah nak dikenangkan lagi. Dah sampai masa kau cari pengganti.” Serkap Zafri.“Oi! Cakap main sedap mulut je. Mana ada. Kau ingat nak cari isteri ni macam nak cari goreng pisang tepi jalan je ke?” Zafri tersenggeh dengan nada kuat Hadif itu. Habis tu nak apa lagi, kan?

“Habis tu? Kau ada segalanya, Hadif. Mesti ramai yang berkahwin dengan kau.”

“Bukan itu dalam fikiran aku. Kau tak faham.”

“Kalau aku tak faham, cuba kau fahamkan aku. Aku tengok kau pun sejak akhir-akhir ni pun dah macam orang tak ada semangat. Tell me, bro. what’s wrong with you.” Zafri masih menanti. Suasana hening seketika.

“Pasal permintaan arwah ayah aku. Masih ada yang belum selesai, Zafri.” Akhirnya apa yang terbuku di ruang hati dapat dilepaskan. Berkerut dahi Zafri dengan luahan perasaan itu. Dia benar-benar tidak faham.

“Arwah ayah aku ada memberitahu untuk aku mencari Pak Mahat dengan Mak Leha. Dan sekarang aku masih belum mencari mereka.”

“Bekas pemandu dan orang gaji kau? Kenapa?”

“Entahlah Zafri. Aku pun tak tahu. Apa yang penting ada benda yang perlu aku berikan pada mereka. Ada surat yang perlu aku serahkan. Dan Rumah Penyayang peninggalan orang tua aku kini milik mereka.”

“La…. Aku ingat berat sangat masalah kau. Habis tu kau tunggu apa lagi? Kenapa kau tak cari lagi? Amanah orang tua kau tak boleh nak lengahkan. Kau tahu mana dia orang tinggal? Ke kau nak aku tolong carikan mereka?” Hadif tersenyum dengan pertolongan yang dihulurkan oleh Zafri itu.

“Aku tahu mana mereka.”

“Habis tu? Kenapa tak pergi? Aku rasa dah lama kau tak berjumpa dengan dia orang, kan? Rasanya dah sepuluh tahun. Bila diaorang balik ke kampung halaman. Mungkin dah tua agaknya mereka tu.” Itulah yang sekarang bersarang di dalam kotak fikirannya. Dia takut akan apa yang akan terjadi sekiranya dia tidak dapat menunaikan impian orang tuanya.

“Itu yang aku takutkan. Aku tak sempat berjumpa dengan mereka.”

“Kau tak cuba dan kau tak tahu. Bila betul mereka dah tiada, bukan salah kau kalau kau tak dapat berikan apa yang patut mereka dapat. Pergilah Hadif. Mungkin ada hikmahnya disebalik permintaan orang tua kau.” Hadif melepaskan keluhan buat kali kedua. Berat dan keras.

“Entahlah Zafri. Aku pun tak tahu nak buat apa. Makin aku fikirkan makin pening kepala aku.”

“Senang saja caranya. Kau pergi jumpa dengan mereka. Ambil cuti. Luangkan masa dengan mereka. Pujuk mereka. Aku yakin dia masih sayang dengan kau. Mahu tidak, sejak kau kecil lagi Mak Leha tu yang mengasuh kau. Sampaikan kau panggil dia mak. Apa lagi yang kau fikirkan, Hadif? Bertindaklah sebelum kau menyesal. Buatnya mereka sudah tiada…”

“Okeylah… okeylah… aku pergi. Tapi aku nak minta tolong dengan kau ni.”

“Kalau kau nak suruh aku ikut kau, siapa pulak yang nak menjaga pejabat ni nanti?”

“Bukan tu. Aku nak pinjam kereta kau.” Hah? Terbuntang biji mata Zafri mendengarkan kata-kata Hadif itu.

“Bukan ke kau dah kereta. Ferrari pulak tu. Kereta aku kereta cabuk je.”

“Itu aku tahu. Takkan aku nak masuk kampung dengan kereta aku. Lagi pun aku bukan nak pinjam kereta BMW kau tu.”

“Habis tu? Kau nak pakai kereta apa? Jangan kau kata nak kere….”

“Yup! Betul. Kereta MYVI kau tu.”

“Oi! Itu kereta bini aku. Habis dia nak pakai pulak. Kau ni Hadif. Main sedap mulut je kau minta itu ini. Kau bawak jelah kereta kau tu.” Zafri tidak berpuas hati dengan keputusan Hadif itu. Meminjam kereta isterinya? Buatnya Hidayah mengamuk tidak ke haru nanti.

“Aku bukan nak menyusahkan kau. Tapi kalau aku cari satu buat membazir je. Tak pe… kau guna kereta aku. Kereta kau biarlah si Dayah tu guna.”

“Wei… bukan aku tak bagi si Dayah tu bawak kereta aku. Buatnya…. Hish! Susah ni.” Zafri mula bermain dengan teka-teki. Hadif masih lagi menanti akan jawapan dari Zafri. Zafri memandang ke arah Hadif seolah-olah keputusan tertera di riak wajah Hadif.

“Lama tak? Aku bukan apa. Raya dah dekat ni. Lagi dua minggu lagi. Macam mana kalau kau masih lagi kat sana?”

“Ala…. Aku tak lamalah kat sana. Lagi cepat aku selesaikan masalah ni lagi cepatlah aku balik sini. Okey apa? Kau boleh bergaya dengan kereta aku.”

“Janji jangan lama sangat. Hish! Aku tak yakin kau sekejap kat sana. Macamlah Mak Leha tu nak lepaskan kau. Tak jalan lain ke? Kau minta pinjam dengan budak lain jelah…”

“Kau ni… banyak sangat cerita. Nak bagi ke tidak? Susah sangat aku beli satu.” Hadif mula meninggikan suara dengan kerenah Zafri itu.

“Hah! Kan senang.” Zafri tersenyum lebar. Selamat kereta aku.

“Kedekut kau ni. Dah! Aku nak balik. Kau tinggallah seorang kat sini. Biar hantu Kak Limah temankan kau.” Hadif mula mengorak langkah. Bergegas Zafri mengejar Hadif. Hah! Rasakan!

Hadif memerhatikan rumah yang agak usang dengan perasaan debaran yang kian kencang. Setelah dia bertanyakan jalan ke rumah Pak Mahat, akhirnya dia berada di destinasi yang selama ini bermian difikirannya. Walau pun keadaan rumah yang usang namun halaman rumah begitu kemas dan bersih. Tingkap rumah terbuka. Hadif yakin akan orang yang selama ini dicari ada di dalam rumah. Hadif keluar dari perut kereta dan berdiri di hadapan halaman sambil memerhatikan sekitarnya.

Hadif memberi salam. Namun senyap. Akhirnya dengan salam yang ketiga salam Hadif bersambut. Debaran Hadif kian rancak. Sudah sepuluh tahun dia tidak bertemu dengan pasangan itu. Adakah mereka akan kenal? Pintu rumah dibuka. Ternyata wajah Mak Leha yang sudah melebihi separuh abad itu terlayar di ruang mata. Mak Leha sudah agak tua. Mak Leha melihatkan wajah yang selama ini dirindui tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Air mata Mak Leha lebih dahulu mengalir dari kata-kata.

“Hadif? Betul ke ni Hadif?” Mak Leha memeluk erat Hadif yang masih lagi terpinga-pinga.

“Mak….” Bagai tersekat di anak kerongkongnya mengeluarkan kata keramat itu. Sejak kecil lagi dia memanggil Mak Leha dengan ‘Mak’ dan Pak Mahat pula dia biasa memanggil lelaki itu dengan ‘abah’. Memang dia merindui insan itu. Dan dia tidak menyangka bahawa dia diberikan peluang untuk bertemu dengan pasangan itu.

“Abah mana?” Pertanyaan itu membuatkan Mak Leha tersedar. Memang itu panggilan yang diberikan kepada Pak Mahat. Mak Leha memerhatikan di sekeliling.

“Jom. Mak rasa dia ada kat belakang. Tengah menebang pokok pisang.” Ajak Mak Leha sambil senyumannya tidak lekang dari bibirnya. Suaranya memecah dikeheningan petang itu. Kelibat Pak Mahat segera dicari.

“Abang, mari tengok siapa datang.” Laung Mak Leha setelah kelibat Pak Mahat jelas diruang matanya. Pak Mahat meletakkan parang yang dari tadi menjadi teman setia.

“La… Hadif ke? Allah! Lama tak jumpa.” Anak bujang itu menjadi mangsa pelukannya. Anak teruna yang berada di sebelah Pak Mahat hanya menjadi pemerhati. Setelah lama Pak Mahat tidak bertemu dengan Hadif, yang sudah dianggap sebagai seorang anak.

“Lupa pulak. Ini abah kenalkan Rashid. Dialah yang banyak menolong abah di kebun ni. Tapi tak lama lagi dah nak berangkat ke London sambung pelajaran dia.” Terang Pak Mahat.

“Hadif. Tahniah!” Hadif menghulurkan tangan dan salamnya bersambut.

“Marilah masuk rumah. Rashid, nanti malam jemputlah datang berbuka dengan kami. Ajak Aisyah sekali. Lepas berbuka boleh ke surau terawikh. Dah lama tak makan ramai-ramai. “ Ajak Mak Leha dengan senyumannya masih tidak lekang dari tadi.

Masih tinggal 15 minit untuk umat islam berbuka. Mak Leha sudah mula menyediakan makanan. Hadif membantu mana yang patut. Sedang mereka menyediakan hidangan, salam dari luar membuatkan Hadif membuka pintu. Rashid dan Aisyah. Hadif memandang ke arah Aisyah dengan tidak berkelip matanya. Tidak mungkin! Wajah itu tidak ubah seperti Balkis! Tunang yang amat dicintai yang telah pergi selamanya.

Senyuman dari Aisyah membuatkan hati Hadif berdetik. Dengan tidak melayani perasaan, dia menyapa Rashid. Diajaknya lelaki itu dan bekas yang ditatang oleh Aisyah disambut.

“Masuklah.” Hadif mempelawa. Ah, sudah tentu mereka ini pasangan suami isteri. Hadif masih lagi memandang ke arah Aisyah yang sudah membantu Mak Leha menyusun lauk untuk juadah berbuka.

“Aisyah adik saya. Harap Hadif tak salah sangka.”Hadif tersentak dengan pengakuan itu. Hish! Dia menyalahkan dirinya kerana galak memandang ke arah Aisyah. Hadif tersenyum sumbing. Dia tahu, Rashid terlebih dahulu memandang ke arahnya.

“Bila nak bertolak ke London?” Tanya Hadif segera mengubah tajuk.

“Tiga bulan lagi.” Perlahan sahaja kata-kata dari Rashid.

“Nampak macam tak seronoknya. Kenapa? Ada masalah?” hadif tahu ada sesuatu yang menjadi penghalang untuk lelaki itu melanjutkan pelajarannya. Rashid mengeluh panjang. Dia segera memandang kepada Pak Mahat, Mak Leha dan juga Aisyah.

“Saya risau, siapakah yang akan menjaga mereka seandainya saya tiada. Bukan dekat dan bukan lama saya pergi. Pak Mahat dan Mak Leha sudah tua. Mesti ada seseorang yang akan menjaga dia.”

“sebab itulah saya ke sini. Niat saya untuk menjemput Pak Mahat dan Mak Leha tinggal dengan saya. Saya tiada siapa lagi. Hanya mereka sahaja yang tinggal dalam hidup saya. Janganlah awak bimbang pasal tu.” Rashid tersenyum pengakuan ikhlas Hadif itu.

“Adik saya? Saya sebenarnya susah untuk pergi kerana Aisyah. Kalau dia tinggal seorang di sini, siapa yang akan menjaga dia? Kami anak yatim piatu. Pengorbanan Aisyah telah banyak. Dia banyak membantu saya untuk saya berjaya. Sedangkan saya? Saya tiada berbuat apa untuk kebahagiaan dia.” Hadif terdiam. Kemudian memandang kepada Aisyah yang galak membantu Mak Leha.
Sejak dia bertemu dengan Aisyah sebentar tadi, entah mengapa hatinya bergelora. Debaran hatinya bagaikan kencang. Mungkinkah kerana wajah seiras bekas tunanganya atau pun hatinya mula diketuk semula.

“Janganlah bimbang. Mungkin ada yang akan menjaga dia.”

“Kesian dengan Aisyah. Dia tidak pandai merebut. Apa lagi untuk menang. Sudah dua kali dia putus tunang. Dan dua kali juga dia yang sengsara. Ada tunang, kawan sendiri yang merampas kebahagiaanya. Dia tidak pernah kata tak boleh. Dia pasrah apa yang berlaku. Kami tahu kami tiadaapa. Tapi kami juga ada maruah dan perasaan. Saya tahu dia terseksa. Tapi dia tidak pernah pamerkan keperitan itu.”

“Abang… jom makan. Ajak kawan sekali. Dah nak berbuka ni.” Rashid melemparkan senyuman dan senyuman dari Hadif juga jelas kelihatan. Kedengaran suara Aisyah begitu lembut membuatkan Hadif terleka sejenak. Ah! Apa sudah jadi dengan ku?

“Jangan segan, Hadif. Makanlah.” Pak Mahat.

“Aisyah, Rashid…. Tambah lagi.”Pelawa Pak Mahat lagi.

“Kalau Hadif beritahu nak datang, mesti mak buatkan Hadif lauk kegemaran Hadif.”

“Tak pelah mak…. Esok ada masa lagi.” Sambut Hadif.

“Baiklah. Esok mak masak lauk kegemaran Hadif. Ayam masak lemak cilia pi, ye. Tinggal kat sini sampai raya. Boleh raya sekali.” Ujar Mak Leha dengan nada gembira. Namun Hadif agak terkejut dengan permintaan itu. Bukan dia tidak mahu tinggal dengan keluarga itu. Namun banyak kerja yang perlu dia selesaikan. Fikirannya ligat memikirkan permintaan itu.

“Kenapa? Hadif tak sudi nak beraya dengan kami ke?” ternyata perubahan wajah Hadif itu disedari oleh Mak Leha.

“Eh, tak adalah mak. Insyaallah kalau diizinkan tuhan Hadif nak sangat beraya kat sini. Lagi pun dah lama tak jumpa dengan mak. Nanti Hadif tanya kawan Hadif kalau dia boleh tolong Hadif.” Ujar Hadif untuk menyedapkan hati orang tua itu.

Hadif mendail nombor telefon Zafri. Meminta bantuan dari sahabatnya itu. Mana tahu dia dapat menunaikan harapan Mak Leha.

“Zafri! Kau kena tolong aku.”

“Apa dia, boss?”

“Aku mungkin ambil cuti sampai raya. Nanti aku kau umumkan kepada semua staff cuti bermula sehari sebelum raya dan minta mereka naik seminggu lepas tu. Aku mungkin naik hari selasa nanti. Kau tolong tengokkan office ye.”

“Wah, lama cuti. Kau dah terikat kat sana ke?”

“Engkau ni. Ke situ pulak. Bukan apa? Mak Leha nak aku sambut raya dengan aku. Aku tak nak hampakan permintaan mereka tu.”

“Okeylah boss… selamat bercuti. Pasal pejabat jangan risau. Kalau ada apa-apa aku akan roger kau.” Hadif meletakkan telefon dengan perasaan yang berbunga-bunga.

“Assalamualaikum…” Hadif tersentak dengan suara gemersik itu. Hadif berpaling dan menjawab salam itu.

“Aisyah. Nak jumpa dengan Mak Leha ke?” Tanya Hadif sambil menyembunyikan perasaannya. Senyuman dari Aisyah membuatkan Hadif tidak keruan. Pulak…. Dia dah macam perempuan!

“Aisyah nak jumpa dengan abang. Mak Leha kata abang nak buat baju melayu. Itu yang Aisyah nak jumpa dengan abang. Abang ada baju melayu untuk dibuat contoh? “ Hadif menggarukan kepala yang tidak gatal. Baju melayu? Mana ada?

“Tak mengapalah Aisyah. Abang boleh beli yang dah siap. Tak payahlah nak susahkan Aisyah.” Asiyah senyum lagi. Ah…. Dia senyum lagi! Aisyah! Cuba jangan senyum. Boleh jadi gilalah!

“Abang, Mak Leha dah berikan kain ela untuk buat baju untuk abang. Mak Leha nak buat tapi dia kata mata dah tak nampak. Nanti baju jadi seluar pula.” Ah, dia pandai bergurau. Hadif mati dengan kata-kata.

“Mak dah beli kain ela. Bila masa? Tak nampak pun dia beli.”

“Mak Leha kirim dengan Aisyah. Harap abang tak marah. Mak Leha minta Aisyah belikan kain warna merah hati. Sebab abang suka dengan warna tu. Tapi kalau abang tak ada baju contoh, agak- agaknya badan abang dengan abang Rashid lebih kurang sama. Aisyah guna contoh abang Rashid sajalah. Boleh?” Hadif mengangguk tanpa disuruh.

" Oh ya, ini Aisyah ada bawakan Mak Leha pengat ubi. Ambillah.” Bekas bertukar tangan.

“Macam mana dia boleh tahu minat aku?”

“Ye? Apa dia?”

“Er…. Tak ada. Nanti abang bagi kat mak.” ‘Abang.’ Perkataan itu pernah digunakan untuk dirinya.
Dan sudah lima tahun Balkis meninggal dunia. Dan sudah lima tahun pintu hatinya tertutup. Dan kini…. Dia membiarkan hatinya meneroka.

“Ini kalau ada ubi rebus dengan sambal tumis ni mesti sedap.” Hadif menukar tajuk lagi. Matanya masih lagi menatap pengat ubi yang membuatkan nafsu puasa bergelora. Tak pe…. Tak lama lagi dah.

“Abang suka dengan ubi rebus ke? Aisyah ada buat lebih. Nanti sebelum berbuka Aisyah hantar, ye.”

“Eh, tak apa. Abang cakap je.” Entah mengapa Hadif seperti malu-malu. Aisyah tersenyum. Hadif menggarukan kepala yang tidak gatal.

“Aisyah balik dulun, nanti Aisyah hantar ubi rebus ye. Assalamualaikum…” Hadif menyambut salam dan memerhatikan gadis itu sehingga hilang dari pandangan matanya. Seminggu lagi umat islam akan menyambut hari raya puasa. Bagi Hadif, ada sesuatu yang perlu diserahkan kepada Pak Mahat dan Mak Leha sebelum dia pulang semula ke Kuala Lumpur. Hari ini,dia menyusuri jalan kampung untuk ke pekan membeli barangan untuk sambutan hari raya. Namun dalam perjalanan dia terserempak dengan Aisyah
yang mahu ke pekan.

“Marilah tumpang saya. Saya pun nak ke pekan juga.” Pelawa Hadif.

“Tak mengapalah. Tak manis kalau saya naik kereta abang ni.” Tolak Aisyah perlahan. Dia tidak mahu akan orang kampung menceritakan perihal yang bukan-bukan. Sudahlah pada bulan puasa, kena pula Hadif bukan orang kampung ini.

“Jangan macam tu. Abang ikhlas ni. Marilah naik. Bukannya Aisyah tak kenal dengan abang, kan? Jauh nak ke pekan tu. Lagi pula bulan puasa macam ni. Mari…” Hadif sudah membuka pintu untuk Aisyah. Dengan hati yang berbelah bagi Aisyah menurut juga.

“Rashid mana? Kenapa tak suruh je abang Aisyah temankan?”

“Abang Rashid biasalah rutin dia. Menolong Pak Mahat kat kebun. Lagi pun Aisyah malas nak menyusahkan dia.” Hadif tersenyum dengan kata-kata Aisyah itu. Ada kejujuran terpancar di wajah gadis itu.

“Kalau abang tanya jangan marah.” Saat itu hati Aisyah bagaikan gelora yang menganas. Hatinya merasa debaran yang tidak boleh digambarkan.

“Abang dengar Aisyah sudah 2 kali putus tunang. Betul?” Aisyah tidak segera menjawab. Sebaliknya dia memberi jawapan dengan seribu bahasa.

“Kalau tak nak cerita abang tak nak paksa.”

“Kenapa perlu ceritakan tentang hal yang telah berlalu? Aisyah….”

“Maaf kalau buat Aisyah terluka.” Hadif mula dilanda rasa gelisah. Menyesal pula dia bertanyakan perihal itu kepada Aisyah.

“Perkara dah berlalu. Memang Aisyah bertunang dua kali. Dan dua kali juga Aisyah tersungkur. Pertama, tunang Aisyah meninggal dunia 3 bulan sebelum kami menikah. Pertunangan kedua Aisyah putus setelah kawan baik Aisyah sendiri melafazkan cinta dengan tunang Aisyah. Aisyah merasa amat perit tetapi Aisyah tetapkan iman untuk terima semua takdir yang menimpa Aisyah.”

“Abang tahu, pasti ada rahmat disebaliknya. Jadi…. Aisyah rasa mungkin pertunangan kali ketiga akan menjadikan Aisyah seorang isteri?” Duga Hadif. Dia memandang ke arah Aisyah. Dia tunduk.

“Kita merancang dan Allah yang akan menentukan. Lagi pun Aisyah tidak mahu mengharap. Biarlah  ianya datang dengan sendiri. Aisyah bukan insan yang sempurna. Ada banyak lagi yang perlu Aisyah memperbaiki diri sendiri. Namun tanggapan masyarakat membuatkan kadang-kala Aisyah hilang semangat. Kalau tidak dengan abang Rashid sudah tentu Aisyah kini merana sendiri.” Hadif terpana dengan kata-kata Aisyah itu. Dia terdiam dan menjadi teman sunyi ketika itu. Dia mati dengan kata-kata.

Pertemuan singkat dengan Aisyah membuatkan Hadif menilai dirinya sendiri. Semenjak kehilangan Balkis, hatinya seolah-olah mati. Wanita tiada di dalam kamus hidupnya. Namun dengan ketabahan yang dipamerkan oleh Aisyah membuatkan Hadif merasakan dia kerdil di sebelah Aisyah. Ah, mengapakah hati ini sering berdebar saat bertentang mata dan saat dia menyebut nama itu getaran kian terasa.

Hadif memandang ke arah Aisyah sedang sibuk membantu Mak Leha menganyam ketupat di berandar. Dalam diam dia menjadi pemerhati. Tanpa disedari tindakannya disedari oleh Rashid yang bersama membantunya menjaga lemang.

“Jauh termenung. Tengok apa tu?” Tegur Rashid dengan melemparkan senyuman. Aduh! Kantoi! Kan dah kena. Entah apa yang difikirkan oleh Rashid. Dia berharap agar Rashid tidak memikirkan perkara yang bukan-bukan tentang dirinya.

“Er… tak ada apa-apa.” Hadif cuba berdalih.

“Saya tahu apa yang awak fikir. Jangan tunggu lama-lama. Nanti diambil orang.” Ujar Rashid. Hadif tersenyum lagi.

“Saya tak layak. Saya tak mahu andai dia fikirkan yang bukan-bukan tentang diri saya.”

“Kenapa perlu merendah diri? Saya yakin dengan awak. Mak Leha banyak bercerita tentang awak sebenarnya sepanjang dia berpindah semula di kampung ni sepuluh tahun yang lalu. Saban hari dia menyebut tentang Hadif. Hadif budak baik, dengar kata. Hormat orang tua. Semua apa yang Hadif suka dan
tidak semua dia bercerita.”

“Sampai begitu sekali? Mak….mak….” Hadif mula rasa segan sendiri. Kalaulah Rashid tahu akan kedudukannya dia takut jika dikatakan menipu.

“Hadif, menyintai dan menerima seseorang itu terletak kepada hati. Ikut kata hati dan semoga ianya akan dipermudahkan. Saya tidak memaksa. Saya tidak mahu andai kata saya ini mendesak dan terdesak. Kami sedar siapa kami. Kami anak yatim piatu. Tiada apa yang boleh kami berikan melainkan kasih dan sayang.” Hadif memandang kepada Rashid. Entah mengapa dia begitu senang dengan kedua beradik itu. Hadif tersenyum sendiri. Kemudian dia memandang ke arah Mak Leha.Insan yang selama ini amat disanjungi dan dihormati. Dan ternyata surat dari peninggalan arwah Datuk Karim memberi seribu erti.

Malam itu…. Hadif merenung ke luar jendela. Melayani perasaan yang kini kian bercelaru. Fikirannya tidak betah untuk berfikir lagi. Dia menghela nafas dengan keras. Entah mengapa air matanya terbit dari kelopak mata. Rahsia yang terpendam kini sudah terungkai. Dan yang pasti betapa orang tuanya kemas untuk menyimpan rahsia.

“Hadif….” Hadif berpaling dan wajah Mak Leha yang jelas diruang mata terus dia memeluk kemas.

“Mak….” Air mata Hadif tumpah lagi. Sebak rasa dia hamburkan. Dia ingin memeluk wanita itu tanpa melepaskan.

“Hadif…. Kenapa ni?” Mak Leha pelik dengan kelakuan Hadif.

“Kenapa mak rahsiakan semua ni dari Hadif?”Hadif menyerahkan surat yang diterimanya. Mak Leha memandang sayup ke wajah Hadif.

“Kalaulah Hadif terlewat, mak. Hadif tidak akan memaafkan diri Hadif. Kenapa mak rahsiakan pada Hadif yang mak adalah ibu kandung Hadif?” Mak Leha hilang kata-kata. Hanya airmata menjadi jawapan kepada pertanyaan Hadif itu. Dia sedar kini…. Segala yang tersimpan lebih tiga puluh tahun kini terbongkar.

“Ya, memang Hadif adalah anak mak. Anak kandung mak. Maafkan mak, nak. Mak terpaksa. Mak tidak mahu Hadif hidup merana. Bila mak dihalau keluar saat mak mengandungkan kau,dan ayah kamu meninggal dunia mak tiada tempat dituju. Mujurlah Pak Mahat yang kau panggil abah menjadi pelindung kepada mak. Abah kamu yang bekerja dengan Datuk Karim bersetuju memberikan tumpang kepada mak.”

Mak Leha menyeka air matanya. Peristiwa silam yang pernah dilalui kini diceritakan semula. Dengan tekad, dia tidak mahu menceritakannya, namun dia sedar Hadif perlu mengetahui akan hal yang sebenarnya.

“Mak kemudiannya bernikah dengan abah kamu. Dan Datuk Karim bersetuju menerima mak sebagai pembantu rumah. Datuk Karim mengambil keputusan untuk menjadikan Hadif anak angkat memandangkan dia tiada cahaya mata. Sudah berapa kali Datuk Karim ingin memberitahu akan hal yang sebenar, namun mak yang melarang. Mak tak nak bila kamu tahu akan hal yang sebenarnya, Hadif malu untuk mengaku sebagai mak sebagai ibu kandung Hadif. Sebab itu Datuk karim berkeras supaya Hadif memanggil orang gaji ni sebagai mak.”

Air mata Hadif tidak boleh dibendung lagi. Dia menangis lagi. Kali ini dia memeluk orang tua dengan seerat-eratnya.

“Maafkan Hadif, mak….”

“Bukan salah Hadif. Bila nenek kamu sakit, mak minta kebenaran untuk pulang ke kampung. Dan rumah tua inilah tempat kami tinggal sekarang. Mak betul-betul minta maaf dengan Hadif.” Hadif melemparkan senyuman manis untuk Mak Leha. Entah mengapa bebanan yang ditanggung selama ini bagaikan terlepas dan dia merasa amat tenang ketika ini.

“Mak tinggal dengan Hadif. Arwah ayah ada meninggalkan sesuatu untuk mak. Dia minta mak dan abah menguruskan rumah penyayang. Hadif rasa mak dan ayah memang berhak.” Mak Leha menggelengkan kepala.

“Tempat bukan di sana. Tempat di sini, dan mak selesa di sini. Mak rasa Hadif lebih layak untuk menguruskannya.” Kata-kata yang dilafazkan oleh Mak Leha membuatkan Hadif sedikit hampa. Mana
boleh dia menguruskan semuanya. Sudah tentu dia tidak menang tangan.

“Tapi mak…. Itu adalah wasiat.” Pujuk Hadif untuk mengubah keputusan Mak Leha. Namun dia hampa. Mak Leha berkeras untuk menolak.

“Hadif cari orang yang sesuai. Balkis bukan ke ada? Dia boleh tolong Hadif kan?” Hadif menggeleng. Dia tidak menyalahkan Mak Leha kerana dia tahu wanita itu tidak tahu akan perihal yang sebenarnya.

“Mak…. Hadif minta tolong mak…..”

Sayup kedengaran suara takbir mula bergema memecah keheningan pagi. Hadif mencapai baju melayu yang dijahit oleh Aisyah itu. Dia tersenyum sendirian. Berkali-kali dia membelek baju itu. Dia kemudiannya keluar untuk berjumpa dengan kedua orang tuanya. Betapa dia merasakan bahagia hari itu saat dia bertemu dengan ibu kandungnya yang sebenar. Tiada yang lain boleh menggantikan hari yang bahagia itu. Hadif segera bersalaman dengan kedua orang tua dan memohon keampunan dan semoga cahaya kebahagiaan berkekalan. 

Sebaik sahaja sembahyang sunat hari raya, Hadif dan kedua orang tuanya menuju ke rumah Aisyah. Terkejut kedua beradik itu tatkala menerima kunjugan dari insan yang sangat dihormati itu. Yelah…. Untuk tahun-tahu yang sebelum merekalah orang yang pertama yang akan menziarahi pasangan itu.

“Masuklah Mak Leha. La…. Kenapa tak tunggu kami je yang datang rumah?” sambut Rashid di muka pintu.

“Sekali sekala… lagi pun si Hadif ni beria-ia ajak datang rumah. Itu yang kami datang.” Mak Leha melangkah masuk ke rumah sambil di ikuti oleh Pak Mahat dan Hadif. Hadif sempat mengerling kepada Aisyah yang sibuk melayan tetamu. Namun dari riak wajah Aisyah dia sedar akan Aisyah kurang senang dengan tetamu itu.

“Kenalkan…. Aril dan ini Wati.” Rashid memperkenalkan kepada Hadif. Hadif menghulurkan tangan dan bersalam dengan Aril.

“Macam mana Aisyah? Aku betul-betul minta maaf dengan kau. Sebab itu aku memberi izin pada Aril untuk bernikah dengan kau.” Hadif menangkap perbualan sahabat-sahabat itu.

“Tidak Wati. Jangan jadi bodoh. Dia milik kau. Masakan aku nak berkahwin dengan dia. Maafkan aku, Wati.” Aisyah kelihatan serba salah. Dia bukan terdesak untuk berkahwin dengan Aril. Memang dulu lelaki itu tunangannya, namun bila saat Aril menikahi Wati dia menyerakan segala hatinya buat lelaki itu sehinggakan tiada apa yang tinggal di dalam lubuk hatinya.

“Tolonglah aku, Aisyah. Kalau kau terima pinangan ni barulah hati aku akan tenang. Aku merayu pada kau. Aril masih sayangkan kau. Aku tak mahu persabahatan kita akan terputus dengan perkahwinan aku.”

“Tidak pernah terlintas di fikiran aku untuk membenci kau, Wati. Kau masih sahabat aku. Walau pun kau berkahwin dengan Aril, ianya tidak pernah mengubah pendirian aku.” Air mata Aisyah mula bergenang. Dia menahan sahaja sebak yang kian kencang.

“Aku dapat tahu abang Rashid akan ke luar negara. Siapa yang akan….”

“Saya akan menjaga dia. Seperti mana saya menjaga diri saya sendiri.” Tiba-tiba Hadif bangkit dan bersuara. Asiyah tersentak dan terkejut. Dia berpaling kepada Hadif. Mencari kebenaran kepada setiap kata-kata yang dibicarakan. Mak Leha dan Pak Mahat tersenyum. Memang itulah niat sebenar sebelum mereka datang.

“Betul, Aisyah. Kami datang pun ada hajat. Malam semalam Hadif beritahu dengan Mak Leha. Dia nak sangat Aisyah terima lamaran Hadif. Sebelum dia beritahu dengan Mak Leha, Hadif ada juga bertanyakan pada Rashid. Yelah…mana tahu kalau Aisyah sudah ada yang punya.”

“Abang yakin bila Rashid kata Aisyah tiada siapa. Selama ini pun pintu hati tertutup sebab kehilangan Balkis. Tunangan abang yang paling abang sayang. Tetapi bila abang bertemu dengan Aisyah buat pertama kali, semangat abang bagaikan kembali. Aisyah telah mengetuk pintu hati abang untuk kali kedua. Wajah Aisyah yang mirip dengan Balkis membuatkan abang benar-benar hilang arah.” Aisyah diam. Ternyata dia terkejut dengan kata-kata Hadif itu. Dia memandang ke arah Wati.
Sahabatnya semenjak kecil lagi.

“Tapi… Aisyah tak layak untuk terima cinta abang. Aisyah tiada apa.”

“Tapi Aisyah ada hati dan cinta, kan? Memang Aisyah tidak mengenali abang. Apa lagi untuk berkasih dengan abang. Tetapi abang percaya, bercinta selepas berkahwin ada manisnya yang tidak boleh kita gambarkan. Oleh sebab itu, abang masuk meminang Aisyah. Pertemuan kita tempoh hari mendorong abang untuk membeli ini.” Hadif mengeluarkan sebentuk cincin permata dan menyerakan kepada Aisyah.

“Mari…. Mak Leha sarungkan. Mak Leha bersyukur apabila Hadif kata nak masuk meminang. Sampaikan Mak Leha malam tadi kalau boleh nak terus je datang rumah. Tapi….. Mak Leha yakin pada hari baik dan bulan yang baik ini kebahagiaan itu milik Aisyah.” Aisyah membiarkan Mak Leha menyarung cincin di jari manisnya. Air mata Aisyah mula tumpah. Ada tangisan kebahagiaan di situ. Dia tidak menyangka kebahagiaan miliknya jua.

“Abang rasa tak nak tunggu lama-lama. Kita nikah sebelum Rashid ops… kena belajar abang Rashid sebab dah nak jadi abang ipar, kan? Kita kahwin ye. Kalau boleh bila abang Rashid balik Malaysia nanti ada 5 orang anak buah yang sedang menanti dia.” Usik Hadif. Merona wajah Aisyah mendengarkan usikan dari Hadif itu.

“Abang ni…”

Hadif memanjat kesyukuran tidak terhingga. Sinar aidilfitri tahun benar-benar memberikannya kebahagiaan yang tidak terhingga. Bertemu dengan ibu kandung, bersua dengan jodoh dirinya ibarat dia hidup kembali. Segala rasa salah kini bertukar dengan rasa manis kebahagiaan. Rashid memanjat kesyukuran akhirnya Aisyah kini bertemu dengan jodoh yang lebih baik. Dia yakin Hadif boleh membahagiakan adiknya itu.

“Tahun depan abang nak Aisyah jahit lagi baju abang.” Usik Hadif lagi. Aisyah tersenyum dan mengangguk. Air mata yang tumpah disapu dan dia memanjat kesyukuran yang tiada terhingga.

# Hah !! Apa lagi , ce komen sikit pasal cerpen ni ^_^

9 comments:

  1. Hadif.
    Zafri.
    Aisyah.

    Nama ahli keluarga.

    Tertarik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehehe . Thank you . Memang nama 2 semua ada dalam ahli keluarga ke ??

      Delete
  2. erk.. happy ending lagi.. bagi lah ending trauma ke.. mati ke.. digigit semut ke.. akakakak

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sabor .. Nanti ana buat ending yang romantik abg zam kahwin , wakakakaka !!

      Delete
  3. erm, tak seronok part dia duduk dua2 dlm kete..
    bila berdua, ada org ketiga.. hehe :p

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahahaha . apa boleh buat , nama pon cerpen ^_^

      Delete
  4. Rase2 berdosa x menciplak hasil kerja orang lain? Adik saya penat2 berkarya orang lain dapat nama..

    Original author (Iera Sabri) link: http://www.penulisan2u.my/cerpen-gadis-beku/

    ReplyDelete
  5. Cerpen cahaya aidilfitri ni pon copy paste jugak dr penulisan2u.

    Cerpen : Sinar Aidilfitri
    Oleh : NorShiemah

    http://www.penulisan2u.my/cerpen-sinar-aidilfitri/

    ReplyDelete
  6. Nmpk sgt org suka copy paste.klau tgk gaya orgnya maaf ckp la nmpk warak siap berniqab tp mencalarkn imej..xtau la da berapa byk cerpen yg diciplak..tunggu je la...

    ReplyDelete